suria

Tiga Bersaudara Maut Akibat Kemalangan Semasa Dalam Perjalanan Ke Kenduri

MACHANG: Tiga bersaudara terbunuh selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka bertembung dengan kereta pacuan empat roda di Kampung Kemuning di sini, Sabtu.

Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Jajahan Machang Mohd Fauzi Che Omar berkata Norazura Mohd Shaari, 18 dan adiknya Norakilah Najihah, 14, serta sepupu mereka, Norhasmalinda Halim, 24, maut di tempat kejadian.

"Mereka dalam perjalanan dari Gua Musang untuk menghadiri majlis kenduri di Bachok ketika kejadian itu berlaku pada pukul 9.20 pagi tadi," katanya di sini, Sabtu.

Beliau berkata ketika kejadian, kereta yang dipandu oleh Norhasmalinda bertembung dengan kereta pacuan empat ronda yang cuba memotong sebuah kenderaan lain.

Mayat Norhasmalinda dikeluarkan oleh orang ramai sebelum anggota bomba tiba di tempat kejadian manakala Norazura dan Norakilah tersepit di tempat duduk depan dan belakang.

Mohd Fauzi berkata tujuh anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta berkenaan.

Ketiga-tiga mayat itu dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, bapa Norhasmalinda, Halim Jusoh, 43, ketika ditemui di hospital berkenaan nyata terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya.

Ketika kejadian, katanya beliau sedang memandu kereta di hadapan hanya beberapa meter sahaja dari kereta anaknya dan menyedari kejadian itu selepas melihat menerusi cermin belakang.

"Bagaimanapun saya redha dengan kejadian yang ditentukan oleh Allah itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain