suria

PAS Mahu Pemimpin Yang Lebih Vokal - Nasharudin

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mendakwa kegagalan beliau mempertahankan jawatan itu adalah disebabkan oleh kehendak perwakilan yang mahukan pemimpin yang lebih vokal.

Selain itu beliau juga tidak menolak kemungkinan wujud pecah undi dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan berkenaan.

"Saya menerima keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan kita menghormati proses demokrasi yang berlaku dalam parti. Jadi benda ini (kekalahan) bukanlah benda yang baru dalam mana-mana pertandingan, jadi kita terima dengan hati terbuka.

"Pertandingan tiga penjuru ini juga bukan sesuatu yang baru dan kemungkinan pecah undi itu berlaku," katanya mengulas mengenai keputusan pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan PAS ke-57 di sini Sabtu.

Nasharudin bagaimanapun menolak isu beliau dikatakan pro-Umno sebagai punca kekalahan beliau.

"Itu tak betul. Isu ini sudah basi," katanya.

Pemimpin PAS di peringkat akar umbi, Mohamad Sabu tanpa diduga menempa kejayaan apabila merampas jawatan Timbalan Presiden daripada penyandang tiga penggal, Nasharudin.

Mohamad yang juga Anggota Jawatankuasa PAS Pusat memperoleh 420 undi mengalahkan Nasharudin yang meraih 224 undi dan Pesuruhjaya PAS Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendapat 399 undi. - BERNAMA

Artikel Lain