suria

Muktamar Tahun PAS: Mat Sabu Yakin Raih Undi Bukan Islam

GOMBAK: Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu yakin kemenangan beliau akan membantu parti itu meraih sokongan daripada pengundi bukan Islam pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Menurut Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, kemenangan komponen Pakatan Rakyat pada PRU akan datang bukan hanya bergantung semata-mata kepada undi ahli dan penyokong.

Sebaliknya, beliau berkata, kemenangan itu akan dapat dicapai jika mendapat sokongan daripada orang ramai khususnya di kalangan pengundi bukan Islam.

"Saya akan membantu presiden untuk mendapat sokongan orang awam, pengundi bukan Islam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) supaya beralih kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Sabtu.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang bertanding kali kedua bagi jawatan itu menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan memperoleh 420 undi.

Dua tahun lalu, beliau tewas di tangan Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok .

Kemenangan beliau dari kumpulan profesional sekaligus memecahkan dominasi kepimpinan ulama bagi jawatan itu.

Ketika ditanya sama ada beliau menang kerana mendapat sokongan penuh perwakilan daripada kalangan profesional, Mat Sabu memberitahu beliau tidak tahu mengenai perkara itu kerana belum membuat analisis lagi.

Sementara itu, beliau tidak menolak perpecahan undi dalam persaingan tiga penjuru itu membantunya untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden.

"Saya nampak memang berlaku perpecahan undi tapi saya tidak bimbang. Dalam pertandingan tiga penjuru, siapa yang bernasib baik akan mendapat kemenangan kecuali jika melibatkan saingan satu lawan satu," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut punca kekalahan Nasharuddin.

Namun, beliau mengakui bernasib baik kerana memenangi jawatan itu hasil komen positif dan negatif pihak media pada pemilihan kali ini. "Semua pandangan dan penulisan wartawan amat saya hargai. Publisiti sedemikian dilihat membawa arus perubahan kepada PAS dan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya nanti," katanya.

Artikel Lain