suria

K'jaan Peruntuk RM4 Bilion Tampung Kenaikan Bahan Makanan

BACHOK: Kerajaan dijangka memperuntukkan kira-kira RM4 bilion tahun ini untuk subsidi bahan makanan asas bagi mengekang kenaikan harga barangan itu daripada membebankan golongan berpendapatan rendah, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Jumlah subsidi itu yang meningkat berbanding RM3 bilion yang diperuntukkan pada tahun lepas adalah disebabkan kenaikan bahan-bahan keperluan asas seperti gula di peringkat global yang tidak dapat dielakkan, katanya.

"Jumlah yang diperuntukkan tahun ini merupakan antara yang terbesar dibelanjakan oleh kerajaan untuk kebajikan rakyat.

"Ini menunjukkan kerajaan pada hari ini amat prihatin dengan nasib yang dialami oleh golongan berpendapatan rendah berikutan peningkatan harga barang di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlawanan futsal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang di Kuchelong di sini, Jumaat.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kerajaan akan mengkaji peruntukkan itu dari semasa ke semasa agar ia sampai kepada golongan sasaran sebenar.

Mengenai kenaikan tarif elektrik, Awang Adek berkata keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu merupakan satu penyelesaian yang terbaik dan sepatutnya diterima dengan baik oleh pengguna kerana ia menguntungkan kedua belah pihak.

Katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menaikkan sedikit untuk mengelak daripada mengalami kerugian manakala pengguna pula akan mendapat khidmat yang terbaik daripada agensi berkaitan kerajaan itu.

"Jika TNB gagal menunaikan tanggugjawab itu, satu penalti akan dikeluarkan," katanya.

Tarif elektrik bagi sektor domestik, komersial dan industri dinaikkan pada kadar purata sebanyak 2.23 sen per kilowatt sejam (kwj) daripada 31.31 sen/kwj kepada kepada 33.54 sen/kwj, berkuatkuasa 1 Jun. - BERNAMA

Artikel Lain