suria

Bekas Penyewa Tetak Tuan Rumah Dengan Parang

KLANG: Seorang lelaki menetak bekas tuan rumahnya dengan parang panjang dan meragut rantai emas milik ibu mangsa di Taman Sentosa di sini Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Mat Yusop berkata pada mulanya suspek yang berusia 27 tahun dilaporkan dilihat berlegar-legar di luar kawasan rumah mangsa sambil membawa sebilah parang panjang.

"Ibu mangsa yang perasan dengan kelibat suspek yang berlegar-legar di luar rumahnya memberitahu anaknya yang kemudiannya keluar untuk melihat suspek," katanya pada Sabtu.

Bagaimanapun, suspek terus bertindak mendekati mangsa dan ibunya sebelum meragut rantai yang dipakai ibu mangsa.

"Keadaan turut menjadi kecoh apabila mangsa yang berusia 21 tahun itu bergelut dengan suspek sehingga menarik perhatian jiran berhampiran yang terkejut mendengar bunyi bising," katanya.

Mohamad berkata suspek telah menetak tangan kanan mangsa semasa pergelutan itu.

Beliau berkata suspek kemudian melarikan diri dengan senjatanya.

"Setakat ini suspek masih belum dapat dikesan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun harta milik mangsa dan mencederakannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain