suria

Muktamar Tahunan PAS: Teguran Abdul Hadi Panduan Hadapi PRU - Pemimpin Pembangkang

GOMBAK: Komponen pakatan pembangkang menyifatkan ucapan dasar yang disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai suatu yang berunsur komprehensif dan dinamik secara menyeluruh bagi menghadapi jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ucapan tersebut merangkumi pelbagai aspek bagi persediaan untuk PRU selain memberi mesej kepada ahli PAS yang terlibat dalam pemilihan sayap tertinggi parti itu kali ini.

"Ucapan itu amat memberangsangkan dan merangkumi semua aspek yang saya rasa terbaik sekali," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Jumaat.

Wan Azizah hadir bersama anaknya yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ke Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Markas PAS di Taman Melewar di sini, Jumaat.

Diminta mengulas mengenai perbezaan pendapat yang timbul antara PAS dan Pakatan Rakyat, Wan Azizah berkata walaupun adanya masalah itu tetapi mereka tetap berpegang kepada objektif utama parti pembangkang.

Menurutnya, sikap sedemikian merupakan kelainan yang ada pada ahli Pakatan Rakyat berbanding BN.

"Kita memang selalu berbincang. Dalam BN anda tidak boleh bincang, anda kena ikut saja. Jadi itu kelainan dan hubungan dinamik yang ada pada ahli Pakatan Rakyat," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Wan Azizah memberitahu beliau tidak hadir kerana berada di luar negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menganggap ucapan tresebut lebih berorientasikan kepada perancangan untuk mengukuhkan cengkaman Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang.

Jelas Saifuddin, tindakan memperkukuhkan hubungan PAS bersama semua kompenan parti pembangkang merupakan pra syarat untuk mengganti tampuk pemerintahan BN.

"Dalam ucapan itu, kritikan terhadap isu negara amat kurang tapi lebih bertumpu kepada membina kekuatan dalaman Pakatan Rakyat," katanya.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok turut menyokong perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat dan mahu kerjasama lebih erat terjalin antara mereka dalam usaha menggantikan kerajaan sedia ada pada pilihan raya umum akan datang.

"Ia petanda yang menunjukkan Pakatan Rakyat akan tetap teguh dan bekerjasama untuk menuju ke Putrajaya. Saya rasa gembira kerana ramai pemimpin PAS sudah muncul sebagai wakil rakyat di peringkat negeri dan Parlimen," ujarnya.

Artikel Lain