suria

Muktamar Tahunan PAS: Nuridah Mahu Terus Berkhidmat Dengan Parti

GOMBAK: Walaupun gagal mempertahankan jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang dipegang selama dua penggal berturut-turut, Nuridah Salleh menegaskan beliau tetap akan meneruskan perjuangannya bersama parti itu.

Nuridah tewas kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff yang diisytiharkan sebagai Ketua Dewan Muslimat yang baru bagi sesi 2011/2013 dengan memperoleh 358 undi.

Menurut Nuridah, beliau tidak kecewa dengan kekalahan itu sebaliknya menganggap ia sebagai takdir yang sudah ditentukan Allah. "Tiada apa yang perlu saya sedihkan. Perkara seperti ini biasa berlaku dalam pemilihan Dewan Muslimat. Saya menerima ketentuan Allah dan menghormati pencalonan yang diberikan kepada saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-57 di sini, Jumaat.

Nuridah berkata, beliau sedia berkhidmat selagi masih diperlukan dan mengharapkan pucuk pimpinan Dewan Muslimat yang baru dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

"Mudah-mudahan gabungan ahli jawatankuasa baru dapat membawa lebih kejayaan khususnya kepada muslimat itu sendiri. Saya mendoakan yang terbaik untuk jemaah PAS," ujarnya.

Katanya, bebannya kini semakin berkurangan dan dia boleh memberi tumpuan kepada anaknya yang masih terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Johannesburg, Afrika Selatan.

Bagaimanapun, Nuridah berkata, keluarga tidak pernah menjadi penghalang bagi dirinya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Dewan Muslimat sejak 2007.

"Alhamdulillah, suami dan anak-anak memberikan sepenuh kerjasama. Syukur kepada Allah. Semoga apa yang ditentukan Allah itu adalah yang terbaik kepada saya di dunia dan akhirat," jelasnya.

Artikel Lain