suria

MIC Sasar Tingkatkan Jumlah Pemilih Kaum India Kepada Sejuta Orang

KANGAR: MIC mensasarkan untuk meningkatkan jumlah pemilih di kalangan kaum India kepada sejuta orang menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata Timbalan Presidennya Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata pada masa ini jumlah pemilih kaum India ialah 850,000 orang dan menurutnya angka sejuta pemilih itu boleh dicapai menerusi kerjasama jentera parti.

Sebahagian besar masyarakat India memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan penambahan jumlah pemilih akan memantapkan lagi parti pada pilihan raya umum akan datang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MIC Perlis ke-65 di sini malam tadi.

Subramaniam berkata, berdasarkan rekod pilihan raya umum lalu, di Perlis sahaja kira-kira 90 peratus daripada lebih 2,000 pemilih keturunan India memilih BN. Beliau percaya sokongan itu akan berterusan meskipun Perlis tidak memperuntukkan sebarang kerusi kepada MIC pada pilihan raya umum.

Sebelum itu, ketika berucap merasmikan konvensyen itu bagi mewakili Presiden MIC Datuk G. Palanivel, Subramaniam berkata MIC akan terus membawa harapan masyarakat India terhadap masa depan mereka di negara ini.

"Kami membantu mereka menyelesaikan banyak masalah termasuk dalam soal mendapatkan dokumen asas," katanya.

Katanya sejak Mac lalu, parti mengenal pasti pelbagai masalah yang dihadapi kira-kira 14,000 masyarakat India dan lebih 3,000 masalah telah diselesaikan.

Antara masalah itu ialah ketiadaan sijil kelahiran dan kad pengenalan sedangkan mereka lahir dan dibesarkan di negara ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain