suria

Syarikat Minyak Dan Gas Malaysia Perlu Timbang Berkerjasama Dengan Peserta Antarabangsa - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dan gas Malaysia perlu menimbang bekerjasama dengan peserta antarabangsa untuk meningkatkan keupayaan mereka, terutamanya dalam bahagian sektor laut dalam dan perkhidmatan eksplorasi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dengan bekerjasama, syarikat Malaysia boleh bergantung bukan hanya kepada teknologi canggih mereka, tetapi juga mendapatkan bahagian pasaran yang kukuh di peringkat serantau.

"Ketika Malaysia melaksanakan usaha yang agresif dan membangunkan penyelesaian inovatif bagi memacu pertumbuhan dan mendapatkan lebih banyak lagi daripada lapangan sedia ada, teknologi canggih dan keupayaan penting kepada kita," kata beliau dalam ucap tamanya di Pameran Minyak, Gas dan Petrokimia Asia 2011 Ke-13, di sini, Khamis.

Muhyiddin berkata dengan lapangan menghasilkan minyak luar pantai Malaysia yang lebih matang berbanding lapngan di negara-negara Asia Tenggara lain, terdapat peluang komersil yang besar bagi penyelenggaraan dan penggantian aset, selain pembangunan lapangan baharu

Di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Malaysia telah menetapkan sasaran mencapai pertumbuhan tahunan lima peratus bagi sektor tenaga dari 2010-2020, yang menterjemahkan kepada kenaikan RM131.4 bilion semasa tempoh tersebut.

"Ini sesungguhnya satu matlamat yang besar, terutamanya dalam suasana penurunan semulajadi pengeluaran minyak dan gas," kata beliau.

Beliau juga berkata tanpa usaha bersungguh-sungguh dibuat dalam eksplorasi huluan, pembangunan dan pengeluaran, pengeluaran minyak dan gas dijangka merosot sebanyak satu hingga dua peratus setahun, di dekad akan datang.

"Meskipun penurunan asas sumber minyak dan gas konvensional, masih ada potensi besar dalam lapangan yang lebih dalam dan secara teknikalnya lebih rumit.

"Pertumbuhan masa depan di Malaysia dijangka datang daripada inisiatif seperti penggerudian laut dalam, penemuan minyak dipertingkat dan pendekatan inovatif kepada pembangunan lapangan kecil," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain