suria

PM Harap Negeri Sertai Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Air

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berharap negeri-negeri di Semenanjung Malaysia akan segera turut serta dalam pelaksanaan Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air oleh Kerajaan Persekutuan agar dapat meraih faedah yang akhirnya pasti memberi faedah kepada rakyat negeri masing-masing.

Dengan penyertaan semua negeri di Semenanjung Malaysia di bawah rejim pelesenan, Perdana Menteri berkata semua agensi dan entiti yang terlibat boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada fungsi dan tanggung jawab masing-masing di bawah inisiatif itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penandatanganan Perjanjian Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang di sini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Ketika ini, Najib berkata negeri Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Perlis sudah memuktamadkan perjanjian yang sama.

"Dengan termeterainya perjanjian hari ini, menjadikan Pulau Pinang negeri pembangkang yang pertama memuktamad perjanjian yang sama," katanya, sambil berharap ia menjadi pemangkin kepada negeri-negeri lain.

Bagi negeri-negeri yang telah terlebih dahulu menandatangani perjanjian itu, beliau berkata Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) telah memperuntukkan bajet bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan atau perbelanjaan modal (capex) lebih RM1 bilion untuk sepanjang 2010 sehingga April 2011.

"Penghijrahan negeri Pulau Pinang ke rejim baru industri air negara ini sesungguhnya akan menjana pembangunan yang pesat bagi negeri ini, khasnya di dalam industri air."

Najib berkata penstrukturan semula itu melibatkan pemindahmilikan secara pajakan aset air Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM655.2 juta kepada PAAB dan sebagai balasan PAAB akan mengambil alih liabiliti air Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari Kerajaan Persekutuan berkaitan bekalan air pada nilai sama.

Katanya PAAB seterusnya akan menyewa pajak aset air itu kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada kadar sewa tahunan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain