suria

Penjual Sayur Didakwa Tawar Tiket Loteri RM1 Juta Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang penjual sayur dari Indonesia dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, kerana didakwa memperdayakan seorang kontraktor paip kononnya mereka boleh menawarkan sekeping tiket toto 6D yang berpeluang memenangi wang tunai RM1 juta.

Taufik Yassing, 41, dan Syafruddin Darwis, 31, yang merupakan seorang penganggur mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

Mereka didakwa memperdayakan Phang Kin Leong, 49, bahawa mereka menawarkan tiket lotari tersebut, sedangkan mereka tahu bahawa tiket tersebut sebenarnya adalah palsu.

Perbuatan tertuduh didakwa telah mendorong Phang untuk menyerahkan wang tunai RM90,000 kepada mereka, yang tidak akan dilakukannya, jika tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 dan 13 Mei lalu di Jalan Gombak, di sini.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan syarat penjamin mestilah seorang warganegara Malaysia.

Beliau juga mencadangkan agar tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa mereka kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Jumlah tersebut dibantah oleh peguam Mohd Kharip Shah Yusof atas alasan ia merupakan jumlah yang tinggi sedangkan tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

"Walaupun tertuduh merupakan warga asing, tetapi mereka mempunyai keluarga di Malaysia. Penjamin hanya mampu menyediakan jaminan sebanyak RM25,000," tambahnya.

Setelah mempertimbangkan rayuan tersebut, Rozana membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dengan syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Sentul, di sini.

Beliau juga menetapkan agar perbicaraan dijalankan selama lima hari bermula 4 Julai depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain