suria

Pengalaman Ditembak Tentera Israel Paling Mencemaskan, Kata Wartawan

SEPANG: Pengalaman mencemaskan dan tidak dapat dilupakan dua wartawan yang mengikuti misi bantuan kemanusiaan ialah tembakan tentera Israel ketika kapal MV Finch memasuki perairan Palestin.

Wartawan Bernama Mohd Faizal Hassan, 28, berkata ketika kejadian, beliau bersama wartawan akhbar New Straits Times Iskandar Alang Bendahara, 36, dan sukarelawan Pejabat Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri Mohd Radzillah Abdullah, 36, berada dalam sebuah bilik di tingkat bawah kapal kargo itu.

Mereka antara 12 penumpang kapal MV Finch yang bertolak dari Malaysia pada 3 Mei lepas untuk menghantar paip PVC sepanjang 7.5 kilometer bagi membantu memulihkan sistem pembetungan yang musnah di Gaza.

"Pada 16 Mei itu, kami berlima termasuk dua lagi sukarelawan, Jenny Graham dari Ireland dan Julie Levesque dari Kanada, berada di tingkat bawah.

"Kami terus tunduk dan baring berpelukan sejurus mendengar bunyi tembakan pertama yang dilepaskan oleh tentera Israel, dan pada ketika itu, kami hanya boleh bertawakal sama ada hidup atau mati," kata Mohd Faizal kepada pemberita sebaik tiba dari Mesir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Isnin.

Mohd Faizal, yang pernah terlibat dalam misi kemanusiaan ke Afghanistan bersama Angkatan Tentera pada Oktober tahun lepas serta penghantaran bantuan ke Jepun berikutan bencana tsunami dan gempa bumi pada Mac lepas, berkata insiden itu begitu mencemaskan kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

"Perasaan kami ketika itu hanya Tuhan yang tahu...selama setengah jam kami mendengar empat kali bunyi tembakan dilepaskan," katanya.

Bagi Iskandar, walaupun berdepan situasi tegang dan berbahaya, beliau memberanikan diri membuat rakaman video tindakan kejam Israel terhadap mereka.

"Saya berjaya merakam secara sembunyi tindakan tentera Israel menembak dua kali ke arah kapal kami, tetapi setakat ini, video itu tidak boleh ditayangkan lagi, dan akan ditunjukkan apabila yang lain selamat pulang," katanya.

Mohd Faizal kemudian berkata setelah kapal itu memasuki perairan Mesir, barulah mereka berlima naik ke bahagian atas kapal untuk meninjau keadaan dan bersyukur apabila mendapati semua anak kapal selamat.

Kapal itu dikemudi rakyat Malaysia Kapten Abdul Jalil Mansor yang dibantu empat krew iaitu Zainuddin Mohamad dan Mohd Jaffery Ariffin, kedua-duanya rakyat Malaysia serta dua warga India, Sharma Chandan Shimla dan Pal Satya Prakash.

"Kami bersyukur kerana tentera Israel tidak naik ke atas kapal. Pada mulanya kami sendiri tidak menyangka tentera Israel akan melepaskan tembakan ke arah kapal," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Faizal berkata pengalaman itu akan dikenang sepanjang hayat, malah hubungan mereka yang terlibat dengan misi tersebut amat erat seperti adik-beradik, dan hadiah paling berharga dalam misi berkenaan ialah menjadi anggota keluarga kapal MV Finch.

Bagi Iskandar, beliau bersyukur kerana mereka bertiga dapat pulang dan berharap sembilan lagi anggota misi itu juga "dapat pulang segera kerana kami pergi secara berpasukan, dan kami mahu pulang juga sebagai satu pasukan."

Mohd Radzillah pula berkata selama ini, beliau sering mendengar mengenai kezaliman tentera Israel, namun kini perkara itu dapat disaksikan dan dialaminya sendiri.

"Pelbagai pelajaran ditimba sepanjang pelayaran yang menjadikan kita lebih kuat, dan ketika tentera Israel menembak kapal, saya cuba tenangkan rakan-rakan yang lain meskipun saya sendiri cemas ketika itu," katanya.

Kapal MV Finch masih tersadai di luar pelabuhan El-Arish dan sehingga Selasa, ia belum dibenarkan berlabuh oleh kerajaan Mesir. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain