suria

Mayat Dijumpai Di Atas Siling Rumah Kosong Di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Mayat seorang lelaki ditemui di atas siling sebuah rumah yang kosong di Taman Ria Jaya di sini Khamis.

Lelaki berkenaan dipercayai terkena kejutan elektrik ketika cuba mencuri wayar elektrik di rumah itu yang kosong sejak pemiliknya berpindah sejak dua tahun lalu.

Pemilik rumah tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Faridah kembali melihat keadaan rumahnya itu hari ini.

"Apabila sampai kira-kira 10.30 pagi tadi, saya ternampak lelehan cecair seperti darah mengalir turun daripada siling rumah saya. Saya lalu memeriksanya dan terbau seperti benda terbakar.

"Saya mengesyaki sesuatu yang tidak kena lalu terus melaporkan kepada pondok polis berdekatan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata anggota polis dari Pondok Polis Insiatif Bandar Selamat yang tiba kemudiannya lalu memeriksa siling itu dan ternampak sesuatu seperti kaki manusia dan akhirnya menemui mayat tersebut.

Mayat itu kemudiannya dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Petani kira-kira tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Hashim Ali berkata mayat itu telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain