suria

Malaysia Terus Mengamalkan Cara Tidak Ortodoks - Nor Mohamed

KUALA LUMPUR: "Kita terus mengamalkan cara pelaksanaan tidak ortodoks," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Khamis.

Beliau berkata agenda transformasi besar yang dimulakan oleh kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersifat tidak ortodoks.

Inisiatif pengolahan semula negara melalui Pelan Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan ini akan menukar Malaysia menjadi sebuah negara bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, katanya pada pelancaran buku berjudul "Notes To the Prime Minister: The Untold Story of How Malaysia Beat the Currency Speculators" di sini.

Beliau berkata moto "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" mencerminkan falsafah dan aspirasi Najib agar penerima manfaat utama daripada pembangunan mestilah rakyat seluruhnya.

Dalam masa dua tahun, kata beliau, kerajaan berjaya memastikan semua rakyat tidak terpinggir daripada agenda transformasi negara dan sekarang hasilnya mulai dirasai.

Nor Mohamed berkata langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia pada 1998 semasa krisis Kewangan Asia pada 1997/98 menurut definisinya adalah tidak ortodoks.

"Hari ini, ketika buku ini dilancarkan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengubah pendiriannya, dan langkah-langkah yang diambil oleh Malaysia pada 1998 berdasarkan definisi hari ini, mungkin tidak lagi dianggap tidak ortodoks.

"Pada 1998, Malaysia sememangnya jauh mendahului orang lain -- lebih tepat lagi 13 tahun mendahului IMF," tegas beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain