suria

Keputusan Sama Ada Laporan Polis Jenain Boleh Dikemuka Di Mahkamah Ditangguh Hingga 10 Jun

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menangguhkan sehingga 10 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada pihak pendakwaan boleh mengemukakan laporan polis yang dibuat tertuduh Koperal Jenain Subi dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah semasa perbicaraan.

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa tertuduh tidak dapat ke mahkamah sehingga esok selepas diberikan cuti sakit kerana gout.

Bagaimanapun, penjamin Jenain iaitu isterinya, Siti Nuraniza Tamrin, 37, hadir di mahkamah untuk menyerahkan cuti sakitnya.

Mahkamah sebelum ini turut menetapkan hari ini dan esok untuk menyambung perbicaraan Jenain, 48, yang diperintah membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di sini, pada 26 April 2010.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan boleh didenda.

Aminulrasyid dilaporkan meninggal dunia kerana luka tembakan di kepala.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani dan Adilla Ahmad sementara Jenain diwakili peguam M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi.

Isu mengenai laporan polis tersebut timbul pada perbicaraan lepas apabila pihak pembelaan membantah cubaan pendakwaan untuk menyoal Jenain berhubung laporan polis yang dibuatnya beberapa jam selepas kejadian.

Pihak pendakwaan mendakwa keterangan Jenain di mahkamah bercanggah dengan laporan polisnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain