suria

Kastam Kedah Tahan Warga Indonesia Cuba Seludup 2.1Kg Syabu

BUKIT KAYU HITAM: Kastam Kedah menahan seorang lelaki warga Indonesia bersama 2.113 kilogram dadah jenis syabu yang disorok dalam beg pakaiannya di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Jumaat lepas.

Pengarah Kastam Kedah Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata lelaki berusia 31 tahun itu yang menaiki bas ekspress dari Hatyai ke Johor Baharu ditahan kira-kira 9 malam selepas pihaknya mengesan imej mencurigakan pada mesin pengimbas bagasi.

"Pemeriksaan seterusnya mendapati ada pita pelekat hitam yang dilekatkan pada dinding di sebelah dalam beg tersebut dan selepas ditanggalkan pihak kami menemui 10 bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi hablur kristal berwarna putih dipercayai syabu," katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Beliau berkata dadah bernilai RM528,280 itu dipercayai diambil dari Thailand untuk dibawa ke Indonesia.

Lelaki itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain