suria

Janda Cedera Ditembak Di Rumahnya Di Gual Periok

RANTAU PANJANG: Seorang janda cedera ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di rumahnya di Kampung Gual Periok, dekat sini, awal pagi Khamis.

Miss Leha Che Soh, 39, yang berasal dari Thailand mengalami kecederaan di dada kirinya akibat tembakan tersebut dalam insiden pada kira-kira 3.15 pagi.

Kejadian itu berlaku ketika wanita itu membuka pintu rumahnya setelah terdengar bunyi bising di luar rumahnya dan tidak semena-mena beliau ditembak.

Ekoran kecederaan yang dialami Miss Leha, beliau dibawa ke Hospital Daerah Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Baharu.

Pegawai Perhubungan Awam HPRZII Zaid Ahmad berkata keadaan wanita itu dilaporkan stabil dan pihak doktor sedang berusaha mengeluarkan dua butir peluru dari tubuhnya.

Menurut Miss Leha, sebelum kejadian itu dia sedang tidur bersama ibu dan enam anaknya di rumahnya dan terjaga selepas terdengar bunyi bising di luar rumah menyebabkan dia membuka pintu untuk melihat.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim yang ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu berkata pihak polis sedang menyiasat motif kejadian tersebut.

Menurutnya, senjata yang digunakan suspek ketika menembak mangsa dipercayai senapang buatan sendiri.

Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain