suria

Dua Warga Indonesia Dituduh Tipu Kontraktor

KUALA LUMPUR: Dua warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap tuduhan menipu seorang kontraktor paip membabitkan wang tunai RM90,000 bulan lepas.

Syafruddin Darwis, 31, penganggur dan Taufik Yassing, 41, peniaga sayur, didakwa menipu Phang Kin Leong, 49, dengan memperdayakannya bahawa mereka boleh menawarkan sekeping tiket ramalan nombor ekor Toto 6D yang kononnya memenangi hadiah RM1 juta.

Perbuatan itu mendorong Phang menyerahkan RM90,000 sedangkan kedua-dua tertuduh mengetahui bahawa tiket berkenaan adalah palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Gombak, Sentul antara 12 Mei hingga 13 Mei. Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, dan jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga negara Malaysia serta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Mohd Kharip Shah Yusof, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM25,000 memandangkan anak guamnya itu sudah berkahwin dengan warga negara Malaysia.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin warga negara Malaysia dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut memerintahkan Syafruddin dan Taufik melaporkan diri di Balai Polis Sentul pada 1 Julai ini.

Mahkamah menetapkan 4 Julai hingga 8 Julai ini untuk perbicaraan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain