suria

Perkeso Luluskan RM81.1 Juta Pinjaman Faedah Pendidikan

SHAH ALAM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengeluarkan pinjaman pendidikan berjumlah RM81.1 juta kepada 3,643 anak pencarum sejak kemudahan itu diperkenalkan pada 1997.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata kemudahan dalam bentuk pinjaman dihadkan maksimum RM100,000 mengikut kelayakan dan kesesuaian bidang pengajian yang dipilih pemohon.

Katanya pinjaman dengan kadar faedah satu peratus akan ditukarkan kepada biasiswa sekiranya pelajar berkenaan mencapai keputusan cemerlang dalam bidang jurusan masing-masing.

"Sehingga kini seramai 21 pelajar telah berjaya menukarkan pinjaman mereka kepada biasiswa membabitkan nilai sehingga RM847,375," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Anak Angkat Perkeso 2011, di sini, Selasa.

Katanya semua peminjam diminta membayar balik pinjaman masing-masing selepas tamat pengajian bagi membolehkan Perkeso mengeluarkan pinjaman kepada pemohon baru.

Menurutnya setakat ini seramai 429 peminjam telah dikenakan tindakan kerana enggan melunaskan pinjaman masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Maznah berkata sebuah pusat rehabilitasi bagi pencarum yang hilang upaya selepas mengalami kemalangan sedang dibina di Alor Gajah, Melaka dan dijangka siap sepenuhnya pada 2013.

Beliau berkata pencarum terbabit boleh menjalani sesi pemulihan fisioterapi dan psikologi di pusat berkenaan di samping menjalani kaedah rawatan yang dikenali sebagai "Kembali ke Tempat Kerja". BERNAMA

Artikel Lain