suria

Graduan Penuhi Keperluan Pasaran Bantu Tarik Pelaburan: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata graduan yang memenuhi keperluan pasaran merupakan elemen penting dalam menentukan keupayaan negara menarik pelaburan langsung asing dan memacu pertumbuhan sumber domestik yang baru.

Perdana Menteri berkata kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi sedang melaksanakan langkah jangka panjang bagi meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan.

"Antaranya dengan menjadikan kebolehpasaran graduan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) setiap Naib Canselor universiti awam, mengadakan kurikulum keusahawanan, menjalankan program kemahiran tertentu dan melaksanakan program bimbingan pelajar di syarikat awam dan swasta sebelum pelajar menjadi siswazah.

"Dialog berterusan antara universiti dan industri diadakan dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti graduan. Pendekatan itu juga dijangka mengurangkan masalah tidak sepadan antara penawaran dan permintaan tenaga mahir," katanya semasa melancarkan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) di sini Rabu.

Najib berkata kerajaan juga mengadakan program khas sebagai langkah jangka pendek bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, antaranya program latihan yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara), Khazanah Nasional dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi menyediakan peluang latihan kepada 12,000 graduan.

Ini bermakna daripada sejumlah 20,000 graduan yang menganggur, seramai 8,000 orang tidak berpeluang menjalani latihan tambahan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka, kata Perdana Menteri.

"Sebahagian mereka ini datangnya dari luar bandar dan pedalaman dan juga daripada kalangan keluarga yang berpendapatan rendah. Latar belakang itu mempengaruhi sifat dan keyakinan diri mereka dan telah menjejaskan keupayaan untuk mendapatkan pekerjaan," katanya.

Najib berkata dengan melaksanakan sedikit penyesuaian dalam bentuk pendidikan pelengkap, mereka akan menjadi lebih berkeyakinan dan mereka ini juga akan dijadikan kumpulan sasaran bagi SL1M.

"Pendekatan itu terbukti berkesan apabila pihak Bank Negara melalui program latihan singkat yang diberikan kepada 500 graduan telah membolehkan kesemua graduan tersebut mendapat pekerjaan yang bersesuaian," katanya.

Najib berkata program SL1M wajar diperluaskan dan dijadikan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat besar.

Program SL1M menyasarkan graduan yang tidak mendapat pekerjaan selepas enam bulan menerima ijazah.

"Graduan yang telah bekerja tetapi pekerjaannya tidak setaraf dengan kelulusan juga layak dipertimbangkan," kata Perdana Menteri.

Struktur program latihan mengandungi dua elemen iaitu kemahiran asas selama dua bulan dan latihan sambil kerja selama enam bulan.

"Tempoh latihan ialah selama 12 bulan dan mereka akan dibayar elaun sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan," kata Najib.

Perdana Menteriberkata bahawa berdasarkan pengalaman Bank Negara dan dengan sedikit sentuhan daripada program itu, beliau yakin peserta akan mampu mendapat pekerjaan yang bersesuaian.

Sebagai permulaan, Bank Negara bersama 25 GLC, akan menyertai program itu melibatkan 3,000 graduan. - BERNAMA

Artikel Lain