suria

Bot Karam: 13 Selamat

KOTA TINGGI: Dua lagi mangsa bot karam di perairan Tanjung Ayam, Pengerang berjaya diselamatkan oleh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, menjadikan yang diselamatkan setakat ini ialah 13 orang.

Menurut sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)) Wilayah Selatan, enam daripada mangsa itu telah diselamatkan oleh bot APMM manakala selebihnya oleh kapal dagang MV Huo Tuo yang berada di kawasan kejadian.

"Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan setakat ini terdiri daripada lelaki dan kita mempercayai mereka merupakan pendatang asing tanpa izin," katanya kepada Bernama hari ini.

Usaha mencari 18 yang masih hilang sedang dilaksanakan oleh APMM termasuk membabitkan sebuah helikopter agensi berkenaan, kata sumber itu.

Pihak berkuasa mempercayai terdapat lebih daripada 30 orang yang menaiki bot itu ketika ia karam di perairan, kata beliau.

Perairan Pengerang dikenali sebagai salah satu laluan paling popular di kalangan pendatang asing tanpa izin untuk memasuki negara ini disebabkan kedudukannya yang terletak berhampiran dengan sempadan Indonesia.

Ia hanya mengambil masa 30 minit perjalanan menggunakan bot laju untuk sampai ke Pengerang daripada Pulau Batam, Pulau Karimun dan Pulau Bintan, Indonesia. BERNAMA

Artikel Lain