suria

Bekas Pengawal Keselamatan Dilepaskan Daripada Hukuman Gantung

KOTA BAHARU: Seorang bekas pengawal keselamatan pada Rabu terselamat daripada dijatuhi hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini melepaskannya daripada tuduhan membunuh anak kandungnya berusia tiga tahun pada Ogos lepas.

Hakim Azman Abdullah bagaimanapun mengarahkan Muhaimi Sautar, 34, ditempatkan di Hospital Permai, Tampoi di Johor bagi menerima rawatan mental serta diletakkan dalam pengawasan pihak berkuasa.

Azman semasa membacakan penghakimannya berkata semasa kejadian bunuh itu tertuduh didapati berada dalam keadaan tidak waras.

"Bagaimanapun kamu tidak dibebaskan dan dihantar ke Hospital Permai untuk menerima rawatan dan diletakkan dalam pengawasan," katanya.

Muhaimi. yang memakai baju kemeja lengan pendek berpetak biru, kelihatan menarik nafas lega apabila hukuman dijatuhkan dan ketika dibawa keluar, dia sempat melemparkan senyuman kepada isterinya, Nik Suzila Nik Hashim, 33, dan beberapa anggota keluarganya yang hadir di mahkamah.

Pasangan itu mempunyai dua lagi anak Siti Aishah, 3, dan Shafiqah, 9. Muhaimi didakwa membunuh anaknya Muhammad Adam Muzhaffar antara pukul 11.45 pagi hingga 12 tengah hari di rumahnya di No 133, Jalan Atas Paloh, Kampung Sungai Budor di sini pada 24 Ogos, 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaakob, manakala Muhaimi diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahmood.

Sementara itu, Nik Suzila ketika ditemui pemberita berkata dia menerima keputusan mahkamah itu dengan hati terbuka dan berharap suaminya itu cepat pulih dan kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

"Saya reda dengan keputusan ini dan suami juga berpesan agar dua anak kami selalu melawatnya di hospital nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain