suria

Wanita Malaysia Perlu Transformasi Untuk Maju Dalam Semua Bidang - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menggerakkan usaha untuk memastikan wanita di negara ini melalui proses transformasi yang baik bagi mencapai kecemerlangan dalam semua bidang seiring dengan misi kerajaan untuk mencapai negara maju.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kerajaan komited untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Wanita Negara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Kita hendak tengok bahawa wanita melalui proses transformasi yang baik, kita hendak wanita Malaysia meluncur ke hadapan dalam semua bidang, prasarana itu ada, cuma pencapaian (kurang memuaskan)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada mesyuarat peringkat tertinggi untuk mencapai sasaran Dasar Wanita Negara di sini Selasa.

Dasar Wanita Negara yang merupakan kesinambungan kepada Dasar Wanita Negara yang digubal pada tahun 1989, berhasrat menjamin pembangunan dan pengupayaan wanita dengan mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya dalam perancangan dan pembangunan negara untuk mencapai kesaksamaan gender.

Shahrizat berkata mesyuarat ini adalah penting bagi menentukan sasaran yang disediakan di bawah dasar kerajaan itu dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan rumusan mesyuarat itu akan diserahkan kepada Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

"Ada sesetengah bidang kita (wanita) memperoleh pencapaian yang bagus dan ada sesetengah bidang yang kita banyak ketinggalan kerana banyak sebab.

"Misalnya dalam politik, keanggotaan wanita adalah lebih ramai daripada lelaki tetapi mengapa wanita tidak menggerakkan diri mereka untuk mendapat tempat dalam bidang tersebut," katanya.

Pengarah NAM Institute for the Empowerment of Women (NIEW) Datuk Dr Rafiah Salim berkata mesyuarat pada Selasa akan membincangkan kedudukan Malaysia berasaskan kepada empat keutamaan iaitu meluaskan suara, kepimpinan dan penglibatan wanita; menghentikan keganasan terhadap wanita; meningkatkan pengupayaan ekonomi wanita dan menjadikan kesaksamaan gender keutamaan di peringkat nasional, tempatan dan sektoral di dalam sebarang perancangan, belanjawan dan statistik.

"Kita akan mula dengan mengenal pasti apa kejayaan yang kita ada, kemudian kita akan lihat apakah cabarannya, apakah yang masih perlu dilakukan, harapan kami adalah ketua-ketua industri yang ada dapat mengemukakan langkah-langkah yang mereka sendiri akan ambil dalam industri mereka untuk menyokong pihak kerajaan dalam mencapai misi tentang dasar wanita ini," katanya.

Mesyuarat yang dianjurkan oleh NIEW itu dihadiri oleh 50 pakar dan tokoh yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan swasta. - BERNAMA

Artikel Lain