suria

Sijil Eksekutif Halal Lonjak Industri Ke Tahap Global

Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi Mejar Md Nor Yusof ketika sidang akhbar yang diadakan selepas Majlis Konvokesyen Program Eksekutif Halal (HEP) pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Program Eksekutif Halal (HEP) yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi fokus untuk melahirkan graduan profesional bagi mengangkat industri berkenaan ke tahap lebih tinggi di peringkat global.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata program tersebut diperkenalkan setelah kerajaan melihat kepentingan mewujudkan satu program khusus bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran graduan yang ingin menceburi industri halal.

"Peserta yang mengikuti program ini akan mempunyai kelayakan tambahan dan program ini dapat memberi tambah nilai untuk mereka yang akan bekerja dalam sektor halal," katanya ketika menghadiri Majlis Konvokesyen Pertama Program Eksekutif Halal yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini, Isnin.

Seramai 65 peserta yang mempunyai Diploma Teknologi Makanan serta Pengurusan Hotel dan Katering dari enam politeknik terpilih seluruh negara telah berjaya menamatkan program selama enam bulan tersebut dan diberi sijil.

Pada majlis itu beliau turut menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia (HDC) dengan Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan TPM Biotech Sdn Bhd.

Sehingga kini sebanyak 482 Program Latihan Halal telah dijalankan kerajaan melibatkan hampir 30,000 peserta.

Mustapa berkata, program perintis kelolaan HDC, sebuah agensi di bawah MITI itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan modal insan, kepakaran dan kemahiran dalam semua sektor termasuklah industri halal.

"Kita harap mereka ini akan dapat membantu pengeluar-pengeluar produk dan pembekal perkhidmatan halal menggunakan pendekatan tepat dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengeluaran produk halal melalui pengilangan terbaik," katanya.

Tambahnya, kerajaan sentiasa menggiatkan usaha melalui pelbagai pendekatan bagi memberi kesedaran tentang kepentingan industri halal dan peluang-peluang yang terdapat dalam sektor itu.

"Usaha-usaha ini bagi menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai hab halal dunia, tetapi meletakkan negara di barisan hadapan dalam bidang ini seterusnya menjadi pusat rujukan halal dunia," katanya.

Jelasnya, selain berpotensi besar menembusi pasaran global, industri halal juga merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, pembangunan standard halal, pembangunan dan penyelidikan (R&D) halal serta pembangunan teknologi.

Beliau menyeru rakyat Malaysia merebut peluang dalam industri halal global yang kini dianggarkan melebihi RM6.9 trilion setahun.

Artikel Lain