suria

Rosmah Minta Pandu Puteri Lebih Berani Perjuang Status Anak Gadis

GEORGE TOWN: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) perlu berani merancang pelbagai aktiviti bersifat advokasi dalam memperjuangkan status anak-anak gadis dan wanita, kata isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata keberanian merancang juga perlu dilakukan untuk melonjakkan persatuan itu ke satu tahap lebih tinggi selaras dengan hasrat menjadikan setiap ahlinya sentiasa proaktif, informatif, responsif dan peka terhadap peredaran zaman.

"Inilah masa terbaik untuk semua ahli-ahli Pandu Puteri bermuhasabah diri, mengenal pasti kekurangan dan kekuatan persatuan, justeru kita mesti bersedia untuk melakukan perubahan paradigma daripada segi pengurusan dan pentadbiran persatuan.

"Oleh itu setiap ahli perlu memantapkan kemahiran penggunaan teknologi terkini serta aktif dalam pelbagai aktiviti kepanduan," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan dan persidangan pesuruhjaya PPPM di sini Selasa.

Rosmah, yang juga Yang Dipertua PPPM, berkata kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita boleh diterjemahkan menerusi aktiviti dan projek yang boleh menaiktarafkan kedudukan wanita dan remaja wanita.

Katanya, aspek kelancaran pengurusan dan pentadbiran adalah penting bagi PPPM kerana sebagai sebuah persatuan bukan kerajaan ia seharusnya berpandukan kepada perlembagaan bagi memastikannya ia tidak terpesong daripada tujuan dan peranan yang telah diamanahkan.

Rosmah berkata PPPM perlu diberi nafas baru dalam usaha penjenamaan semula persatuan itu agar ia menjadi lebih dekat dengan masyarakat setempat tanpa mengira kaum, agama dan batasan usia.

Katanya PPPM sebagai sebuah badan sukarela yang telah bertapak di negara ini sejak 1917, persatuan itu boleh memikirkan aktiviti-aktiviti bersesuaian sama ada di peringkat kebangsaan dan diperluaskan ke peringkat global.

Malaysia telah terpilih sebagai tuan rumah untuk satu bengkel latihan anjuran Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Rantau Asia Pasifik-Rantau Arab yang dijadual adakan penghujung tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain