suria

Pemuda Dikhuatiri Lemas Selesai Memancing Tengah Malam

PASIR MAS: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaikinya untuk memancing tenggelam di Sungai Kelantan di Kampung Galok dekat sini tengah malam Isnin.

Hassan Abdul Ghani, 25, sebelum itu keluar memancing bersama Aziz Husin, 60, siak masjid di kampung berkenaan.

Aziz ketika ditemui berkata kejadian berlaku pukul 12 tengah malam ketika mereka selesai memancing dan hendak pulang apabila bot dimasuki air dan tenggelam.

"Saya bernasib baik kerana sempat berpaut pada ranting buluh tetapi arus deras menyebabkan Hassan lemah," katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan pagi tadi dan akan diteruskan sehingga 7 petang ini.

"Jika mangsa belum ditemui operasi akan disambung esok," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain