suria

Nor Mohamed: Harga Gas Asli Di Malaysia Lebih Murah Berbanding Negara Jiran

PUTRAJAYA: Harga gas asli di Malaysia masih lagi murah berbanding negara-negara jiran meskipun dengan kenaikan pada Isnin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Malah sebelum ataupun selepas kenaikan, harga Malaysia masih lagi murah jika dibandingkan dengan Thailand (RM18.23), Indonesia (RM21.04), Singapura (RM43.32) dan Vietnam (RM18.70)," kata beliau.

Nor Mohamed berkata demikian selepas mengumumkan kenaikan harga gas asli daripada RM10.70 setiap juta unit termal British (MMBtu) kepada RM13.70 setiap MMBtu seiring dengan kenaikan harga tenaga global.

Pengumuman ini dibuat di persidangan akhbar bersama oleh Nor Mohamed dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui di sini Isnin.

Beliau berkata kenaikan dalam bekalan gas ke sektor perindustrian adalah wajar, daripada RM15 setiap MMBtu kepada RM16.07 setiap MMBtu, jika dibandingkan dengan negara-negara jiran serantau seperti Thailand (RM19.46), Indonesia (RM18.74) dan Singapura (RM133.45).

Nor Mohamed berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan menaikkan harga gas yang ia bekalkan kepada sektor elektrik dan perindustrian sebanyak RM3 seMMBtu setiap enam bulan mulai 1 Jun, 2011 sehingga Disember 2015.

Harga gas akan mengikut harga pasaran mulai 2016, kata beliau.

Menurut Nor Mohamed, sehingga akhir 2010, Petronas telah menyalurkan kira-kira RM131.3 bilion dalam subsidi gas kepada kedua-dua sektor kuasa dan bukan kuasa.

"Jika harga gas kekal pada RM10.70 setiap MMBtu dalam sektor kuasa dan RM15.35 setiap MMBtu dalam sektor bukan kuasa, RM27.22 bilion subsidi perlu ditanggung pada 2011," kata beliau.

Beliau berkata dengan kenaikan itu, Petronas masih perlu menanggung RM25.64 bilion dalam subsidi.

"Ini merupakan pengurangan sebanyak RM1.58 bilion," kata beliau.

Nor Mohamed berkata pada masa ini, harga pasaran untuk gas bagi sektor kuasa ialah RM47.42 setiap MMBtu dan Petronas membeli kira-kira 36 peratus daripada gas di luar Malaysia.

"Menanggung subsidi gas akan membataskan keupayaan Petronas untuk menyumbang dari segi dividen dan cukai korporat serta mengehadkan kelebihannya untuk melabur semula bagi mengekalkan aliran pendapatan masa depan," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain