suria

Najib Yakin Remaja Akan Sertai Proses Demokrasi

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau percaya kalau kerajaan dapat memperluaskan penglibatan dengan golongan belia, mereka akan sedar bahawa demi masa depan negara, mereka juga perlu mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara ini.

Menurut Perdana Menteri demi menentukan masa depan yang sebaik mungkin, secara langsung ini akan membuka minat mereka untuk mendaftar sebagai pengundi.

"Saya percaya dengan sendirinya mereka boleh menimbulkan minat untuk menjadi pengundi kerana mereka nak menentukan siapakah sebenar-benarnya boleh membantu mereka dan menentukan masa depan yang sebaik-baiknya kepada generasi muda hari ini," katanya kepada pemberita apabila ditanya langkah yang boleh dijalankan bagi golongan muda mendaftar sebagai pengundi.

Terdahulu Najib menghadiri sesi pementoran pada Forum Tindakan Belia 2011 serta jamuan makan tengah hari bersama lebih 350 pemimpin belia di sini Selasa.

Mengikut laporan, sehingga tahun lepas, empat juta pengundi yang layak memilih, belum berdaftar, kebanyakannya dikatakan daripada golongan yang telah mencecah umur 21 tahun dan layak untuk menjadi pengundi.

Mengenai program yang dilaksanakan di bawah Dana Belia 1Malaysia, Najib berkata beliau melihat ada banyak yang menarik, yang jika dilaksana oleh penerima dana, tentu akan memberi kesan bermakna kepada masyarakat setempat.

Katanya penerima dana ini akan menulis laporan tentang pencapaian mereka dan penilaian akan dibuat mengenainya.

"Jadi dari penilaian nanti kita dapat membuat rumusan mana satu yang telah dilaksana dengan penuh kejayaan," katanya.

Pada 21 Januari lepas, Najib melancarkan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta sebagai platfom bagi mencetus idea dan kreativiti golongan belia melalui projek kemasyarakatan. - BERNAMA

Artikel Lain