suria

Inflasi Dijangka Naik 0.27 Peratus Susulan Kenaikan Kadar Tenaga

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangka inflasi meningkat 0.27 peratus berikutan kenaikan tarif tenaga yang diumumkan Isnin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. "Ini (kenaikan) merupakan suku daripada satu peratus," kata beliau pada sidang akhbar bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui di sini.

Inflasi tahunan pada April ialah 3.2 peratus.

"Kenaikan tarif bagi 75 peratus pengguna adalah sifar, jadi subsidi ditumpukan kepada mereka yang benar-benar memerlukan," kata Nor Mohamed.

Kerajaan pada Isnin memutuskan untuk menaikkan tarif elektrik dan harga gas asli sebagai sebahagian daripada rancangan perasionalan subsidi.

Kerajaan membenarkan Tenaga Nasional Bhd menaikkan kadar sebanyak 2.23 sen kilowatt sejam (kWj) berkuat kuasa 1 Jun, kenaikan pertama sejak 2008 apabila tarif dinaikkan sebanyak 24 peratus.

Ia juga berkata harga gas asli akan naik RM3 setiap juta unit termal British setiap enam bulan sehingga 2015, yang akan mengurangkan kos subsidi gas kepada RM25.64 bilion daripada RM27.22 bilion.

Semasa ditanya mengenai kenaikan harga makanan berikutan kenaikan tarif berkenaan, Chin berkata perniagaan seperti industri kampung tidak akan merasai kesannya kerana penggunaan mereka hanya 0-300 kWj.

"Sekiranya operasi komersial, (penggunaan elektrik) melebihi 200 kWj, mereka akan merasakan kenaikan itu yang hanya maksimum 10 peratus," katanya.

Bagi pengguna komersial voltan rendah seperti peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil yang penggunaanya tidak melebihi 200kWj sebulan, kadar kenaikan maksimum adalah sebanyak RM4.60 sebulan.

Pengguna industri voltan rendah seperti pengusaha industri memproses makanan secara kecil-kecilan yang menggunakan elekrik kurang daripada 200kWj sebulan pula akan mengalami kenaikan tarif maksimum sebanyak RM4 sebulan.

Chin berkata tarif industri khas yang ditawarkan kepada sektor industri yang perbelanjaan bil elektrik bulanannya melebihi lima peratus daripada kos keseluruhan operasi masih dikekalkan dalam semakan tarif elektrik pada kali ini.

Sektor industri yang layak akan terus menikmati kadar tarif yang lebih rendah daripada kadar tarif industri biasa, tambahnya.

Bagaimanapun, Chin berkata jurang perbezaan antara kadar Tarif Industri Khas dan Tarif Industri Biasa akan dikurangkan secara berperingkat selaras dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan penggunaan elektrik secara cekap dalam sektor industri. - BERNAMA

Artikel Lain