suria

Inflasi Dijangka Lebih 3.6 Peratus - Pengarah Strategi PKR

PETALING JAYA: Kadar inflasi bagi 2011 dijangka meningkat melebihi 3.6 peratus sejak 2006 iaitu paras kedua tertinggi sejak lima tahun yang lalu akibat keputusan kerajaan menaikkan tarif elektrik berkuat kuasa Rabu ini.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berkata, lonjakan kadar inflasi berkenaan didorong oleh kenaikan barangan asas seperti gula, petrol dan diesel sebelum ini.

"Kesan gabungan kenaikkan berganda ini dijangkakan akan mendorong inflasi bagi tahun 2011 mengatasi kadar inflasi 2006 dan menyaksikan berjuta isi rumah berdepan dengan masalah kenaikan harga barang, sedang pendapatan boleh belanja mereka semakin mengecil," katanya di sini, Selasa.

Beliau mengulas keputusan kerajaan pada Isnin mengumumkan purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen kilowatt-jam (kWj) atau 7.12 peratus kepada 33.54 sen kWj daripada 31.31 sen kWj.

Bagaimanapun struktur tarif baru elektrik itu menyaksikan 75 peratus atau 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak akan mengalami kenaikan bil bulanan sekiranya mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada 300 kilowatt sejam (kWj) atau kurang.

Mengulas lanjut mengenai kenaikan tarif berkenaan, Mohd Rafizi berkata peningkatan inflasi tersebut secara tidak langsung akan mengurangkan pendapatan boleh belanja isi rumah.

"Bil elektrik 75 peratus pengguna mungkin tidak berubah, tetapi peningkatan inflasi akibat dari kenaikan tarif ini akan terus mengurangkan pendapatan boleh belanja (disposable income) bulanan mereka.

"Begitu juga dengan isi rumah atau kediaman lain termasuklah kediaman yang dikongsi beramai-ramai oleh pelajar atau pekerja yang bil elektriknya mengatasi paras RM77 sebulan," katanya.

Artikel Lain