suria

Ibrahim Ketua Pengarah Penerangan Baru

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Penerangan Malaysia Ibrahim Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia yang baru berkuat kuasa 9 Mei 2011.

Pelantikan beliau adalah untuk menggantikan Datuk Abdullah Morad yang bersara wajib pada 1 Mei lalu.

Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Raya Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Ibrahim, 51, yang berasal dari Bota Kiri, Perak merupakan seorang pegawai penerangan yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang komunikasi dan pengurusan maklumat strategik.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Perhubungan Awam dari Universiti Boston, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Sains Malaysia, beliau juga aktif dalam aktiviti persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau merupakan Naib Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) dan Bendahari bagi Persatuan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI).

Ibrahim memulakan kerjayanya sebagai pegawai penerangan pada 1983 dan antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Imigresen dan Kementerian Penerangan, Ketua Cawangan Latihan dan Tugas-tugas Khas, Jabatan Penerangan, Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan Pengarah di Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan, Pengarah Penerangan Negeri Perak dan Setiausaha Bahagian Pengurusan dan Analisis Maklumat, KPKK.

Ibrahim merupakan Ketua Pengarah yang ke-16 sejak penubuhan Jabatan Penerangan Malaysia pada 1945, menurut kenyataan itu lagi. - BERNAMA

Artikel Lain