suria

Chin Sung Chew (Sin Chew), Presiden NUJ Baru

KUALA LUMPUR: Chin Sung Chew daripada akhbar Sin Chew dilantik sebagai Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang baru bagi menggantikan Hata Wahari yang melepaskan jawatan berkenaan pada Selasa.

Chin, yang sebelum ini merupakan Naib Presiden kesatuan itu, dilantik Majlis Eksekutif NUJ bagi menggantikan Hata berkuatkuasa hari ini, menurut Setiausaha Agung kesatuan V. Anbalagan dalam satu kenyataan di sini.

"Majlis Eksekutif mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Hata atas sumbangannya kepada kesatuan," katanya.

Hata, bekas wartawan kanan akhbar Utusan Malaysia, dipilih angggota NUJ sebagai Presiden kesatuan itu pada persidangan perwakilan dwitahunan ke-17 pada 17 September tahun lepas bagi menggantikan Norila Daud yang tidak mempertahankan jawatan dipegangnya sejak 1998.

Hata pada 21 April lepas dipecat Kumpulan Utusan selepas didapati bersalah terhadap lapan dakwaan memburukkan imej syarikat melalui kenyataannya di beberapa portal berita seperti 'Malaysian Insider', 'Malaysiakini', 'Merdeka Review' dan akhbar 'The Sun' antara 21 September dan 14 Oktober tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain