suria

Akta Kawalan Padi Dan Beras Dikaji Untuk Wujud Kompaun Simpan Beras Lebih Had

SHAH ALAM: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengkaji untuk meminda Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 bagi memasukkan hukuman kompaun ke atas pemborong beras yang digantung lesen mereka.

Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata pihak pemborong mendakwa tindakan menggantung lesen mereka sehingga perbicaraan kes di mahkamah selesai, mengambil masa dua hingga tiga tahun menjejaskan perniagaan mereka.

Oleh itu, dengan memperkenalkan kompaun, bagi pesalah pertama atau kedua, perniagaan mereka tidak akan terjejas kecuali bagi pesalah tegar yang akan dihadapkan ke mahkamah, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Beras Bumiputera Malaysia" (BARIM) pertama di sini Selasa.

"Kena pinda akta secepat mungkin untuk beri kelonggaran kepada mereka," katanya dan menambah ini adalah antara isu yang dibangkitkan oleh para pemborong dalam dialognya dengan mereka pada majlis itu.

Noh berkata sepanjang tahun ini, sebanyak 20 pemborong di seluruh negara telah digantung lesen, antaranya kerana menyimpan stok beras lebih daripada yang dihadkan dan kerana membungkus gred beras rendah sebagai gred tinggi.

Beliau juga berkata mulai Rabu ini, pemborong beras yang hanya dibenarkan membungkus dan mengedar beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) dibenarkan membungkus beras gred lain.

Ini adalah bagi memastikan tidak ada pilihan yang tidak adil dalam pelaksanaan peraturan itu dengan semua pemborong beras ST 15 boleh membungkus beras gred lain.

Beliau berkata terdapat dakwaan ada pemborong ST15 yang dibenarkan membungkus beras gred lain.

Noh juga berkata kementerian itu kini sedang mengkaji semula kontrak perjanjian dengan Padiberas Negara Bhd (Bernas) sebagai pengimport beras tunggal untuk negara untuk tempoh 10 tahun lagi mulai tahun ini.

Walaupun kabinet telah meluluskan penyambungan kontrak dengan Bernas sebagai pengimport beras negara pada Mac lepas, kementerian itu diberi masa enam bulan untuk mengkaji semula perjanjian itu sebelum ditandatangani oleh kedua-dua pihak, katanya.

Beliau berkata para pemborong beras seperti BARIM diminta menghantar cadangan dan pandangan mereka supaya dapat dipertimbangkan kerajaan dalam merangka terma-terma baru perjanjian dengan Bernas.

Noh juga berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menghantar cadangan bagi meminda Akta Haiwan 1953 kepada Pejabat Peguam Negara untuk semakan, termasuk mempertingkatkan hukuman ke atas mereka yang didapati bersalah menzalimi haiwan.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau berkata pada masa ini mereka yang didapati bersalah hanya didenda RM200 atau enam bulan penjara, atau kedua-duanya sekali.

Noh berkata kementerian itu juga sedang berusaha untuk menubuhkan Majlis Kebajikan Haiwan Malaysia yang dianggotai oleh beberapa jabatan kerajaan dan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang berkepentingan dalam penjagaan haiwan.

Beliau berkata bagi memberi kuasa kepada majlis itu sebuah akta baru iaitu Akta Kebajikan Haiwan akan diwujudkan bagi menjaga kebajikan haiwan di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain