suria

Penagih Dadah Mati Setelah Terjun Ke Dalam Laut Di Kuala Kedah

ALOR SETAR: Seorang penagih dadah yang melarikan diri daripada operasi Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar ditemui mati lemas selepas terjun ke dalam laut di Pelantar Ikan Pak Chaw, Kampung Cina, Kuala Kedah kira-kira 3.30 petang Ahad.

Orang awam menjumpai mayat mangsa terapung berdekatan terminal feri Kuala Kedah kira-kira pukul 7.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner (ACP) Adzaman Mohd Jan berkata Muhamad Nizam Baharin, 31, seorang nelayan dipercayai terjun ke dalam laut selepas menyedari polis menjalankan operasi narkotik di situ.

"Selepas menyedari mangsa terjun ke dalam laut, kita merancang untuk mendapatkan khidmat Unit Penyelam Bomba, Unit Penyelam Marin Pulau Pinang dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bagi mencari mangsa," katanya.

Mangsa seorang duda dan mempunyai seorang anak perempuan berumur 6 tahun yang tinggal bersama kakak mangsa di Yan manakala mangsa tinggal di Kampung Sematang Kuala Kedah.

"Mangsa dipercayai seorang penagih tegar dan kita telah menghantar mayat mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat," kata Adzaman. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain