suria

Kata-kata yang penuh humor tapi bermakna

Wong Chun Wai dan On The Beat. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN
Wong Chun Wai dan On The Beat. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN
Wong Chun Wai dan On The Beat. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

SEBAGAI karyawan, penulis berasa cemburu kepada rakan-rakan yang berjaya menghasilkan naskhah buku sendiri. Menulis dan menerbitkan buku memerlukan disiplin. Ia tidak sama seperti menulis berita. Menulis berita sentiasa dalam sifat segera dan dalam keadaan tergesa-gesa. Di dalam berita kita tidak memasukkan pandangan atau komentar peribadi. Menulis buku memberi ruang kepada penulis itu melontarkan pandangan dan juga komentarnya ke atas sesuatu isu atau subjek yang diperkatakannya.

Maka pada Rabu, 25 Mei baru-baru ini, penulis menyaksikan pelancaran buku yang dihasilkan oleh rakan dan ketua pengarang penulis sendiri, Wong Chun Wai di Hard Rock Cafe, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Majlis pelancaran bukunya itu yang berjudul ON THE BEAT turut disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah. Kedua-duanya adalah kenalan dan sahabat kepada Chun Wai. Majlis serba sederhana dan ringkas itu turut dihadiri oleh ramai rakan wartawan, pengarang dan mereka yang pernah mengenalinya dari dekat. Beliau adalah contoh seorang wartawan sejati - mempunyai sahabat dari istana sehinggalah kepada rakyat biasa.

Buku tersebut adalah himpunan hasil komentar Chun Wai sejak ia pertama kali diterbitkan pada 23 Februari 1997. Dalam tempoh 14 tahun yang lalu, kolum yang disiarkan di dalam akhbar The Sunday Star itu telah menghasilkan lebih dari 600 buah artikel yang meliputi pelbagai isu dan perkara yang berkisar kepada kehidupan rakyat Malaysia dan negara kita secara amnya iaitu dari politik sehinggalah kepada isu agama, sosial, tentang perpaduan, jiran tetangga, pengalaman peribadi malah tentang makanan dan juga hiburan. Menurut Chun Wai lagi, kolum tersebut tidak pernah putus diterbitkan melainkan pada hari di mana akhbar The Sunday Star terpaksa tidak diterbitkan kerana cuti umum atau sebab-sebab tertentu.

Yang lucunya, di dalam prakata buku ON THE BEAT, Chun Wai secara berjenaka seperti cuba menjolok sarang tebuan dengan menulis begini; “Sejak menulis kolum tersebut sepanjang 14 tahun yang lalu, saya tidak pernah walaupun sekali didatangi oleh Cawangan Khas (Special Branch). Sama ada saya menjalankan tugas saya dengan cemerlang atau kolum saya itu tidak meninggalkan sebarang impak sehingga tidak ada siapa pun ambil perhatian.”

Tetapi yang lebih menarik dan mencuit hati ialah apabila tiba gilirannya untuk menyampaikan ucapan, Chun Wai berjalan menuju ke pentas tanpa membawa cermin matanya. Ketika sedang teraba-raba mencari di mana dia meletakkan cermin matanya itu, Chun Wai secara berjenaka berkata; “Dah tua ni...lupa letak kat mana cermin mata saya...nak baca ucapan tak boleh!” Kebetulan hari di mana bukunya itu dilancarkan adalah hari ulang tahun kelahirannya yang ke-50 (selamat tinggal 40-an). Dia kini mengelar dirinya Hawaii 5-O. Tiba-tiba dalam keadaan dia tercari-cari itu, Sultan Selangor bangun mencemar duli untuk meminjamkan cermin mata baginda kepada Chun Wai. Semua orang ketawa besar melihat telatah tuanku yang cuba menghulurkan cermin mata baginda untuk dipinjamkan kepada Chun Wai. Tetapi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif The Star, Datin Linda Ngiam ‘menyelamatkan’ keadaan apabila beliau ternampak cermin mata Chun Wai yang berada di atas meja lalu menghulurkannya kepada si yang empunya.

Dalam ucapannya juga, Chun Wai tidak ketinggalan mencetuskan gelak ketawa hadirin dengan kata-katanya yang bersahaja dan penuh humor tetapi sangat mendalam maknanya. Beliau bermula dengan mengatakan bahawa sepanjang memenuhi obligasinya mengisi ruangan dalam kolum berkenaan, beliau telah mencuba sedaya upaya untuk sentiasa menunjukkan jalan tengah yang sederhana tetapi keperluan untuk menjadi sederhana tidak juga suatu tugas yang mudah.

“Sesetengah orang berkata, ia adalah jalan yang bersendirian. Tidak lama sebelum buku ini dicetak, saya menerima satu panggilan daripada seorang ahli politik yang sangat marah dari negeri kelahiran saya sendiri iaitu Pulau Pinang yang telah memarahi saya kerana kononnya saya berlaku tidak adil dan tidak memihak kepada parti yang beliau wakili.

“Dan pada hari berikutnya pula, saya telah menerima satu panggilan daripada seorang pemimpin dari sebuah lagi parti politik menuduh saya cenderung kepada polisi sebuah parti politik yang lain. Pada masa yang sama, seseorang telah tweet kepada saya dengan kata-kata yang saya ni pro-DAP tetapi sebaliknya seorang lagi pula kata saya ni pro-BN,” kata Chun Wai sambil ketawa diikuti oleh kami semua yang mendengar ucapannya.

“Saya pasti semua wartawan sedia maklum dengan panggilan-panggilan telefon seperti ini apatah lagi dari kedua-dua parti politik yang berlainan kem dan sebagainya tetapi biarlah saya berkata begini sahaja...jika kita dimarahi oleh kedua-dua parti yang berlainan kem ini bermakna kita berada di landasan yang betul.

“Jika kita mengambil laluan yang moderat dan sederhana iaitu jalan tengah, ia akan membawa kita ke destinasi yang ingin kita tuju. Ini kerana kita tidak memihak tetapi seandainya kita terbabas dari laluan, dan akhirnya mengambil haluan kiri atau kanan, kita tidak akan sampai ke destinasi kita,” ujarnya lagi.

Oleh itu, kata Chun Wai keperluan untuk kekal moderat atau sederhana sangat penting pada saat ini. Media katanya, bukan sekadar perakam masa kepada perjalanan sejarah Malaysia tetapi juga bertanggungjawab mendukung kewartawanan yang memberi pengharapan bukannya kewartawanan memberi rasa putus asa.

Dan sebagai wartawan, mereka memainkan peranan yang sangat besar dalam menyalurkan maklumat dan berita kepada rakyat. “Kita sentiasa memanggil daun sped sebagai daun sped (iaitu bercakap dengan nada berterus-terang) dan kita tidak membenarkan sesuatu cerita itu direka-reka semata-mata untuk menjual akhbar. Sebaliknya kita membincangkan sesuatu isu itu dalam nada yang wajar tanpa perlu merendah-rendahkan seseorang itu atau mempersendakannya,” kata Chun Wai.

Dan, tegasnya lagi, adalah sangat penting untuk masyarakat dan rakyat jelata membicarakan sesuatu isu secara bertamadun dan penuh dengan rasa hormat. Dan sebagai media juga, katanya, mereka mestilah menjadi peransang dan bukannya punca negara menjadi pecah belah. Yang penting tegas beliau, kita semua sayangkan negara kita dan tidak mahu melihat ia musnah sebaliknya kita mahu menjadikannya sebuah tempat yang lebih baik untuk didiami.

Penulis boleh dihubungi di [email protected]

Artikel Berikut

Artikel Lain