suria

Kabinet Arah PBT Siasat Terperinci Keadaan Bangunan Di Kawasan Berisiko

KUALA LUMPUR: Kabinet telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara menjalankan siasatan ke atas bangunan yang telah dan akan dibina di lereng bukit dan kawasan berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, arahan itu dikeluarkan minggu lepas dan semua PBT diminta membuat bancian atau siasatan ini dengan secepat mungkin dan perlu disiapkan dalam tempoh sebulan.

"Selepas itu, saya akan menyiapkan satu laporan khas kepada kabinet. Kawasan yang disiasat bukan hanya terhad dalam bidang kuasa PBT sebaliknya turut melibatkan kawasan di luar bidang kuasa PBT berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan Majlis Jaksa Pendamai Selangor untuk membantu mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Langat pada 21 Mei lalu, di sini Isnin.

Arahan itu dikeluarkan selepas kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat yang mengorbankan 16 orang.

Sehubungan itu, Chor menyeru pemilik bangunan dan rumah yang mempunyai risiko tinggi menghubungi segera PBT terdekat untuk menyiasat kawasan mereka.

Katanya, sebaik siap laporan daripada PBT, kementerian akan meminta pemilik rumah atau bangunan berkenaan untuk mengadakan perancangan bagi mengelak dari erlaku tragedi.

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh di rumah anak-anak yatim itu, Chor berkata ia terletak di luar bidang kuasa Majlis Perbandaran Kajang dan ia diklasifikasikan sebagai kawasan pedalaman.

"Rumah itu sudah pun dibina 15 tahun yang lepas. Di bawah Kanun Tanah Negara, bagi tanah-tanah yang mempunyai kegunaan pertanian atau kampung, tuan tanah berhak untuk membina sebuah rumah untuk keluarganya tanpa kebenaran kecuali tanah itu dalam kawasan operasi atau kawalan PBT.

"Madrasah Al-Taqwa ini juga didapati tidak pernah didaftarkan khususnya di bawah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.

Hari ini Majlis Jaksa Pendamai Selangor diketuai oleh Presidennya Datuk Seri M. Fathil Mahmood menyerahkan sumbangan bernilai RM100,000 kepada Chor untuk disampaikan kepada mangsa tragedi tanah runtuh itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain