suria

BN Mampu Terus Urus Ekonomi Negara

JASIN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) berkeupayaan untuk menguruskan ekonomi dengan baik agar negara tidak terjebak dengan masalah kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata walau pun wujud tekanan politik daripada parti pembangkang, kerajaan BN tidak akan terikut-ikut dengan rentak suasana tersebut.

"Masalahnya terdapat parti pembangkang yang menabur fitnah terhadap kerajaan dan menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin mereka dapat tunaikan menyebabkan rakyat terikut-ikut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jasin di Merlimau dekat sini, Ahad.

Awang Adek yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata kerajaan akan memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung sesuatu isu seperti kenaikan harga barangan, agar tidak dikelirukan oleh pembangkang.

Terdahulu semasa berucap, beliau mahukan semua Umno bahagian mendekati dan memahami kehendak golongan muda supaya golongan tersebut merasai bahawa inspirasi mereka bukan sahaja diberi perhatian oleh kerajaan malah juga parti.

"Mereka tidak berkiblat kepada mana-mana individu tetapi mereka hendak tengok cara kita, keperibadian kita, dia nak tengok kita betul-betul mesra rakyat atau tidak, dia tengok dari segi kepentingan masyarakat dan mereka akan buat penilaian," kata Awang Adek.

Beliau berkata hampir 60 peratus daripada jumlah pengundi pada pilihan raya umum ke-13 adalah terdiri daripada golongan muda, di mana undi mereka amat penting.

"Mereka punya pendirian tersendiri, kita perlu dekati mereka kalau tidak dia beri undi bantahan, ini yang kita nak elakkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota Umno di semua negeri menggandakan usaha untuk mendaftar pengundi baru. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain