suria

Polis, SKMM Bekerjasama Kesan Dalang Sebar Maklumat Palsu Kes Simbah Asid

KUALA LUMPUR: Polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan dalang di sebalik penyebaran maklumat palsu kes simbah asid yang mencetuskan situasi panik di kalangan orang ramai, terutama penduduk sekitar Lembah Klang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pihaknya membuat laporan kepada SKMM agar dapat mengenal pasti individu yang terlibat, sekaligus membendung perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Penyebaran maklumat palsu itu dihebahkan menerusi khidmat pesanan ringkas(SMS), laman sosial seperti Twitter dan Facebook yang semakin berleluasa, sedangkan ia hanya berita palsu," katanya selepas melancarkan program kesedaran komuniti merentasi sempadan jantina berhubung keselamatan wanita sempena pameran perumahan di sebuah pusat beli-belah di sini Sabtu.

Turut hadir Anggota Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Ku berkata mereka yang menyebarkan maklumat palsu akan disiasat mengikut Seksyen 505 Akta Kanun Keseksaan.

"Kita memandang serius perbuatan ini... Apabila dalang di sebalik penyebaran itu telah dikenal pasti, polis akan menyiasat kes itu secara terperinci bagi mengelakkan timbul lagi kerisauan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata setakat ini, terdapat 23 kes yang mempunyai modus operandi yang serupa, iaitu mangsa simbahan asid melibatkan wanita, dan polis akan menyiasat sama ada ia dilakukan individu sama atau tidak.

Mengenai perkembangan kertas siasatan berhubung kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia Ahmad Sarbani Mohamed, 56, Ku berkata sehingga kini, polis tidak menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk memperkemaskan dokumen itu selepas ia dihantar baru-baru.

"Kita telah siapkan kertas siasatan...jika Peguam Negara mengeluarkan arahan untuk kita memperkemaskan lagi kertas siasatan kes itu, kita hanya mengikut arahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain