suria

Polis Lumpuh Judi Nombor Ekor

KLUANG: Polis percaya dapat melumpuhkan kegiatan perjudian nombor ekor haram yang melibatkan wang pertaruhan sejumlah RM504,000 sebulan dengan tertangkapnya 17 lelaki dan lima wanita di 21 premis di sekitar bandar ini dan Batu Pahat, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal berkata serbuan di 14 premis di sekitar bandar ini dan tujuh premis di sekitar Batu Pahat itu dilakukan pada pukul 3 petang sehingga pukul 8 malam, hasil maklumat orang awam dan risikan polis.

"Dalam serbuan itu, seramai 11 lelaki dan empat wanita ditahan di Kluang manakala enam lelaki dan seorang wanita ditahan di Batu Pahat. Seorang daripada lelaki yang ditahan di Kluang itu, merupakan pembeli nombor ekor," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Sabtu malam.

Amer berkata hasil siasatan awal, polis mendapati jumlah pertaruhan di kesemua premis berkenaan menjangkau RM6,000 seminggu dan kegiatan itu dipercayai sudah bermula sejak enam bulan lepas.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai lebih RM4,000, 22 mesin pencetak, 25 telefon bimbit dan 189 kertas yang dicatat angka pertaruhan.

Katanya, kesemua rakyat tempatan berumur 20 hingga 40an itu kini direman dan akan disiasat mengikut Seksyen 4(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala lelaki yang membeli nombor ekor haram itu akan disiasat mengikut Seksyen 9(1) akta yang sama.

"Serbuan terhadap kegiatan ini akan dijalankan berterusan memandangkan mereka yang terlibat kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya. BERNAMA

Artikel Lain