suria

Najib Sertai Peminat Saksikan Perlawanan Akhir Liga Juara-juara Eropah

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Liga Juara-Juara Eropah antara Manchester United (Man U) dan Barcelona bersama orang ramai menerusi skrin gergasi di Dataran Putrajaya awal pagi Ahad.

Perdana Menteri memakai jersi pasukan pilihannnya Man U yang tertera nombor 1 Najib.

Lebih 10,000 peminat bola sepak yang membanjiri dataran itu memberi tepukan gemuruh sebagai tanda penghormatan semasa menyambut ketibaan Najib kira-kira setengah jam selepas perlawanan bermula.

Kehadiran Perdana Menteri juga begitu bermakna buat peminat setia Man U kerana juara Inggeris itu berjaya menyamakan kedudukan 1-1, tiga minit selepas ketibaan beliau, menerusi jaringan Wayne Rooney.

Najib yang merupakan peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) kelihatan begitu bersemangat menyaksikan siaran langsung antara dua kelab gergasi bola sepak Eropah yang menampilkan barisan pemain terbaik dunia antaranya Lionel Messi, David Villa dan Wayne Rooney.

Barcelona yang lebih mendominasi perlawanan itu dengan mudah menumpaskan Man U dengan 3-1, sekaligus mempertahankan imej sebagai kelab terbaik sepanjang zaman.

Turut sama menyaksikan perlawanan bola sepak itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan.

Ia adalah salah satu daripada program Himpunan Sejuta Belia 2011 yang berlangsung di Putrajaya dari 27-29 Mei.

Ini adalah kali kedua Najib menonton perlawanan bola sepak bersama orang ramai.

Pada Disember lepas, Najib menyertai warga kota terutamanya golongan muda menonton perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam menerusi skrin gergasi di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. BERNAMA

Artikel Lain