suria

MIC Mahu Agihan Kerusi Pilihan Raya Kekal

KLANG: MIC mahu agihan kerusi pilihan raya kepadanya seperti pada pilihan raya umum pada 2008 dikekalkan pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya Datuk G.Palanivel berkata, MIC akan bekerja keras bagi memastikan mereka memenangi sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini.

Dalam pilihan raya umum 2008, MIC menang tiga kerusi Parlimen iaitu Tapah, Cameron Highlands dan Segamat serta tujuh kerusi DUN.

"Kami tidak akan berputus asa (untuk merampas kembali kerusi Parlimen dan DUN yang diperuntukkan kepada MIC)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Ibu di sini Sabtu.

Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata kemungkinan sebarang rundingan mengenai kerusi akan hanya berlaku sekiranya ia melibatkan pertukaran langsung dan bukan kerusi Parlimen untuk kerusi Senator.

Mengenai Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), beliau berkata langkah untuk menarik balik saman RM100 juta ke atas pengerusinya dan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan tujuh pemegang amanah merupakan langah baik. BERNAMA

Artikel Lain