suria

Mahkamah Syariah Mungkin Beroperasi Waktu Malam Selesai Kes Tertunggak

KOTA BAHARU: Mahkamah Syariah berkemungkinan akan beroperasi pada waktu malam serta pada cuti umum untuk menyelesaikan kes tertunggak serta mempercepatkan penyelesaian kes berkaitan isu rumah tangga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata langkah itu akan mampu menyelesaikan banyak perkara walaupun mahkamah pada masa ini mempunyai bilangan hakim yang mencukupi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Halal Kelantan di sini hari ini yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Mengulas mengenai isu perceraian yang dilaporkan semakin banyak berlaku di negara ini, Mashitah berkata masyarakat tidak sepatutnya memandang isu berkenaan daripada sudut negatif semata-mata.

"Ini sebagai satu tanda pasangan suami isteri kini semakin memahami langkah untuk bercerai di mahkamah sebagai langkah terbaik menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagaimanapun sentiasa memberikan khidmat kaunseling sebelum pasangan itu mengambil keputusan untuk bercerai demi masa depan mereka.

Sementara itu Mashitah berkata ramai usahawan bukan Islam kini memohon sijil halal daripada Jakim memandangkan kini pasaran industri halal negara telah mampu menjana ekonomi sehingga RM45 bilion setahun kerana bilangan pengguna Islam yang ramai.

"Sijil halal yang dikeluarkan di Malaysia juga mendapat pengiktirafan tinggi di luar negara. Pasaran halal global sangat besar dengan mencecah sehingga RM2 trilion setahun kerana disokong oleh seramai 1.5 bilion umat Islam seluruh dunia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain