APMM Tahan 25 Nelayan Vietnam - Semasa | mStar

APMM Tahan 25 Nelayan Vietnam

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan dua tekong dan 23 awak-awak dari Vietnam ketika sedang menangkap ikan di perairan negara berdekatan Tok Bali di sini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Tok Bali, Komander Maritim Zainin Abdul Majid berkata dua buah bot laut dalam itu ditahan dan ditunda ke pelabuhan APMM di sini, Ahad.

"Pencerobohan itu dapat dikesan oleh kapal KM Amanah yang sedang membuat rondaan di 111 batu nautika dari Timur Laut Tok Bali pukul 1.30 Jumaat lepas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan dan nelayan yang berumur antara 16 hingga 39 tahun itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya berikutan itu bot, peralatan dan hasil tangkapan pelbagai spesies ikan yang dianggarkan sebanyak tiga metrik tan dirampas.

Zainin berkata mereka akan didakwa kerana melanggar Akta Perikanan 1985 mengikut Seksyen 15(1)(a) dan jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM500,000 atau lima bulan penjara bagi awak-awak atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

BN Mampu Terus urus Ekonomi Negara

Artikel Berkaitan

Artikel Lain