suria

PGPF Harap Kerajaan Mesir Benarkan Paip PVC Dihantar Melalui Jalan Darat Ke Gaza

KUALA NERANG: Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF) berharap Kerajaan Mesir membenarkan paip PVC yang dibawa oleh kapal MV Finch dihantar ke Gaza menggunakan jalan darat tanpa melalui Israel.

Penasihatnya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pihaknya dimaklumkan berhubung syarat-syarat iaitu jika mahu memunggah barang-barang dari kapal MV Finch dan dihantar ke Gaza, ia mesti melalui Israel.

Daripada pengalaman-pengalaman sebelum ini, apabila kapal pertama Rachel Corrie dan kapal-kapal bantuan kemanusiaan lain termasuk Marvi Marmara yang telah ditarik ke Pelabuhan Ashdod, semua barang-barang itu tidak sampai ke Gaza dan jika ada mungkin paling banyak hanya 20 peratus sahaja yang sampai.

"Jadi kita tak yakin sekiranya barang itu dihantar ke Israel, ia akan sampai ke Gaza. Itu kebimbangan kita dan berlandaskan kepada pengalaman, saya rasa kebimbangan itu berasas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya, Usahawan dan Kepenggunaan Belia 1 Malaysia Peringkat Daerah Padang Terap di sini, petang Jumaat.

Mukhriz berkata beliau berharap agar Kerajaan Mesir dapat memberi pertimbangan atas sifat perikemanusiaan supaya membenarkan paip PVC dipunggah di Pelabuhan El-Arish dan dihantar mengikut jalan darat ke sempadan Rafah dan terus dibawa masuk ke Gaza.

"Kita harap satu jenis tekanan dalam bentuk apa sekalipun dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan rakan-rakan lain bagi menyedarkan pihak Mesir untuk membawa barang-barang itu masuk ke Gaza.

"Kita hanya menyalurkan paip PVC sahaja yang panjangnya 7.5 kilometer bagi membantu rakyat Gaza dalam menghadapi masalah pembentungan kerana sekarang ini masalah itu telah sampai ke tahap yang begitu teruk sehingga menyebabkan pelbagai penyakit berjangkit tersebar di sana.

"Kita bukannya menghantar ubat-ubatan atau benda-benda lain yang mungkin boleh disalah guna untuk perkara-perkara lain. Hanya paip PVC sahaja," katanya.

Beliau berkata jika tiada pilihan mereka perlu memunggah paip-paiP PVC dan menyimpannya di sebuah gudang di Mesir sehingga mendapat satu tarikh untuk membolehkan paip-paip itu dihantar ke Gaza.

"Walaupun itu bukan pilihan terbaik tetapi kita perlu juga membuatnya. Biarlah lambat asalkan paip-paip itu dapat dihantar ke Gaza tanpa melalui Israel kerana kita langsung tidak yakin barang-barang itu akan sampai ke Gaza jika melalui negara Zionis itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain