suria

Paderi Puji Kerajaan Biayai Projek Baik Pulih Gereja St George's

Gereja St George berwajah baru selepas kerajaan pusat mengeluarkan RM1.8 juta untuk membuat kerja-kerja pemuliharaan bangunan sejarah berusia 195 tahun yang menjadi warisan dunia itu. - Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Paderi Gereja St George berterima kasih kepada kerajaan kerana membiayai kos membaik pulih rumah ibadat yang dibina pada kurun ke-19 itu hingga kembali kepada kehebatan asalnya melalui projek baik pulih Jabatan Warisan Negara melibatkan kos RM1.8 juta yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Charles Samuel berkata anggota gereja juga amat menghargai usaha dan sumbangan kerajaan untuk membaik pulih gereja Anglican tertua di Asia Tenggara itu, yang siap sepenuhnya pada November tahun lepas.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Samuel berkata sepanjang tempoh sembilan bulan kerja membaik pulih itu dijalankan, anggota gereja berkenaan menjalankan upacara keagamaan mereka pada setiap Ahad di sebuah dewan di gereja itu.

Samuel, yang bertukar ke sini pada awal tahun ini, berkata pembukaan semula rumah ibadat berusia 195 tahun itu membuka lembaran baru dalam sejarah Gereja St. George.

"Gereja ini dibina pada 1816 dengan seni bina berasaskan neo-klasik dan reka bentuk George Palladian," katanya.

Beliau berkata selepas dibaik pulih, gereja itu menarik kehadiran semakin ramai pelawat, terutama dari luar negara dan upacara sembahyang beramai-ramai pertamanya Februari lepas disertai penganut Kristian dari lebih 38 negara.

"Kami bercadang membina sebuah gerai untuk pelancong, membina pagar yang sesuai dan sebuah dewan pameran di atas tanah seluas dua hektar ini. Tapi, masih kekurangan peruntukan, manakala kos operasi gereja ini ialah kira-kira RM5,000 sebulan. Oleh itu, kami harap kerajaan atau syarikat multinasional boleh menyumbang ke arah ini," katanya.

Gereja di persimpangan Lebuh Farquhar dan Jalan Masjid Kapitan Keling ini diisytiharkan warisan negara pada 2007. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain