suria

Najib: Janji K'jaan Semua 8A+ Dapat Biasiswa Bukan Dapat Belajar Luar Negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Jumaat menegaskan janji kerajaan untuk memberi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ialah kepada semua pelajar cemerlang yang mendapat 8A+ bukan untuk menghantar kesemuanya ke luar negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah memberi jaminan bahawa semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang berkenaan akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan JPA.

"Kita punya janji dahulu semua yang dapat 8A+ akan dapat biasiswa, tapi kita tak janji semua dapat ke luar negara... ini yang kadang-kadang orang tak faham.

"Bagi yang sambung belajar di universiti tempatan, katakanlah pelajar itu dapat masuk diploma sebab universiti tawar kursus diploma, kita beri jaminan kalau dia dapat sambung peringkat ijazah, kita akan biayai dalam program ijazah pertama.

"Begitu juga yang dapat tawaran ke matrikulasi, lepas itu kita akan biayai juga bila lanjutkan ke peringkat ijazah... sebelum ini ada orang salah faham kalau mereka masuk matrikulasi atau diploma, lepas itu tak ada lagi (biasiswa JPA)," katanya.

Bagaimanapun Najib berkata, beliau meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bagi menyelaraskan pelaksanaan pemberian biasiswa berkenaan dengan JPA.

"Kita juga akan ambil pandangan daripada semua pihak termasuk, MCA, Gerakan, MIC dan pihak-pihak lain berhubung perkara ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain