suria

Najib Gesa Warga Malaysia Hargai Pengorbanan Tentera Pengaman PBB

KUALA LUMPUR: Sempena memperingati Hari Antarabangsa Tentera Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa semua warga Malaysia supaya menyertai beliau dalam menghargai dan memberi penghormatan kepada kumpulan berkenaan.

Perhormatan dan penghargaan itu, kata Perdana Menteri, ditujukan kepada mereka, baik lelaki mahupun wanita, termasuk keluarga mereka, atas segala pengorbanan yang telah dilakukan demi keamanan dunia sejagat.

Beliau berkata sejak 50 tahun lepas, Malaysia begitu giat membantu misi keamanan PBB di seluruh dunia.

Sehingga ke hari ini, lebih 20,800 anggota tentera dan 1,000 anggota polis Malaysia telah ditempatkan dalam misi di lebih 20 negara.

"Sejumlah 26 pahlawan Malaysia telah terkorban dalam usaha menegakkan keamanan dan ketenteraman di seluruh dunia," kta beliau menerusi blog 1Malaysia, Sabtu.

Najib berkata baru-baru ini dalam satu kenyataan menyokong usaha keamanan yang diambil untuk mengekalkan kestabilan kerajaan Bahrain, kerajaan Arab Saudi dan negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk yang lain, beliau telah mengumumkan bahawa Malaysia bersedia menghantar tentera pengaman ke negara-negara tersebut, sekiranya diundang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain