suria

Tangguh Lawatan Ke Yemen

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar hari ini mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia supaya menangguhkan buat sementara waktu lawatan ke Yemen sehingga keadaan keselamatan di negara itu pulih.

Wisma Putra dalam kenyataan di sini meminta pelajar Malaysia yang sudah tamat pengajian dan rakyat Malaysia yang bekerja atau melawat Yemen yang selesai urusan mereka di negara itu supaya kembali segera ke tanah air.

Rakyat Malaysia di Sana'a, Zabid, Hodeidah dan Hadramaut pula diminta sentiasa mengambil langkah keselamatan dan mengikuti perkembangan keselamatan semasa di negara yang sedang bergolak itu.

Kedutaan Besar Malaysia di sana sedang memantau perkembangan terkini situasi keselamatan dan berhubung dengan 270 rakyat Malaysia di negara itu, katanya.

Wisma Putra juga meminta semua rakyat Malaysia di sana yang belum berdaftar supaya berbuat demikian dengan pihak kedutaan di Sana'a.

Pergolakan di Yemen kian meruncing apabila berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan yang mahu menumbangkan presiden Ali Abdullah Saleh dengan tentera yang setia kepada kerajaan sehingga mengorbankan banyak nyawa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain