suria

Rasuah Bola: Menteri Minta SPRM Campur Tangan

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Jumaat meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kegiatan mengatur keputusan perlawanan yang membabitkan pasukan bola sepak Negeri Sembilan.

Beliau yang terkejut dengan laporan media tentang perkara itu, berkata ia perlu dipandang serius dan jika dakwaan itu benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Bagi saya, kita tak boleh mencemar sukan negara kita dengan rasuah kerana orang baru percaya dan yakin dengan sukan dan bola sepak negara sehingga melonjakkan bola sepak ke tahap yang baru, sekiranya ia berlaku lagi ia akan memusnahkan keyakinan orang ramai terhadap bola sepak negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Y-Avenue sempena sambutan Hari Belia Negara 2011, di sini.

Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dilapor membuat laporan polis mengenai dakwaan itu semalam, selepas menerima aduan dan pengakuan beberapa pemain bola sepak negeri itu yang bersedia menjadi saksi terhadap dakwaan yang dikatakan berlaku sejak akhir tahun lepas.

Ahmad Shabery berkata, dakwaan itu juga diharap tidak membabitkan pasukan lain, namun punca dakwaan itu perlu disiasat bagi mengetahui 'kepalanya'.

Bagaimanapun katanya, jika dakwaan itu tidak benar, PBNS diharap dapat membersihkan nama mereka kembali.

"Sukan mementingkan integriti, soal ketelusan, soal menghormati undang-undang dan menerima menang dan kalah, dan sekiranya ini hilang maka ia bukan lagi dilihat sebagai sukan tetapi merupakan medan perjudian," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain