suria

Polis Tumpaskan Geng Adi Relau

NIBONG TEBAL: Polis berjaya menumpaskan sindiket curi motosikal selepas menahan tiga lelaki termasuk seorang pelajar sekolah dalam satu operasi khas pada 23 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata tiga lelaki berusia antara 16 dan 32 tahun yang ditahan itu adalah anggota geng Adi Relau dan bergerak aktif mencuri motosikal di sekitar Seberang Perai Selatan; Bandar Baharu, Kedah; dan Parit Buntar, Perak.

"Dalam operasi itu, kita tahan seorang pelajar sekolah dan rakannya berusia 21 tahun di Sungai Acheh dan hasil soal siasat, polis menahan ketua mereka yang berusia 32 tahun di sebuah bengkel motosikal di Relau," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui enam buah motosikal, sebuah rangka motosikal dan beberapa enjin motosikal yang dipercayai dicuri di bengkel berkenaan.

Katanya siasatan awal mendapati motosikal yang dicuri dibawa ke bengkel itu sebelum diubah suai dan dijual kepada pihak tertentu. "Ketua kumpulan itu merupakan mekanik di bengkel berkenaan dan mempunyai kepakaran untuk mengubahsuai motosikal, dan bengkel itu juga merupakan tempat mat rempit ubah suai motosikal mereka," katanya dan menambah kesemua mereka yang ditahan juga didapati positif dadah.

Shafien berkata kesemua mereka kini direman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan.

"Dengan penahanan itu, kita percaya berjaya menyelesaikan enam kes curi motosikal yang dilaporkan di Seberang Perai Tengah dan polis kini giat mengesan saki baki anggota kumpulan berkenaan," katanya.

Pada perkembangan lain polis menahan tiga lelaki berusia antara 17 dan 31 tahun dan merampas sejumlah kabel Telekom bernilai RM5,000 di Sungai Kechil di sini 22 Mei lepas dipercayai kabel yang dicuri.

Beliau berkata tiga lelaki termasuk seorang pelajar sekolah itu dipercayai aktif mencuri kabel-kabel itu sejak beberapa bulan lepas.

"Mereka ditahan ketika sedang mencuri kabel di Sungai Kechil dan hasil siasatan mendapati mereka terlibat dalam 11 kes curi kabel di sekitar Seberang Perai Selatan.

"Mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain